MELAKA 1 Ogos - Orang ramai menyambut baik pakej kos rendah netbook dan jalur lebar yang diperkenalkan oleh Telekom Malaysia Bhd. (TM) di negeri ini yang dinamakan Pakej Jalur Lebar TM dengan Komputer 1Malaysia.
Mereka menyifatkan pakej tersebut membolehkan golongan berpendapatan rendah mendapatkan maklumat yang berguna dan mengakses perkhidmatan dengan mudah di hujung jari.
Seorang pesara, Mohd. Tamim Mohd. Said, 70, yang juga salah seorang penerima pakej tersebut berkata, dia memperoleh pakej tersebut untuk kegunaan cucunya.
''Saya dah tua untuk menggunakan netbook tapi saya memohonnya bagi kegunaan cucu kerana mereka wajar didedahkan dengan kemudahan jalur lebar," katanya.
Dia ditemui pada majlis pelancaran Pakej Jalur Lebar TM dengan Komputer 1Malaysia sempena Hari Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundur di Pantai Puteri di sini, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur, Datuk Abdul Rahman Abdul Karim dan Pengurus Besar Negeri TM Melaka, Zaini Maatan.
Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, Tan Hui Kwan, 30, berkata, pakej yang ditawarkan oleh TM adalah jauh lebih murah berbanding pakej lain.
''Kerana mudah selain kemudahan yang disediakan telah membolehkan saya memiliki netbook untuk memudahkan tugas dan urusan harian," katanya.
Katanya, pakej dengan bayaran hanya RM38 sebulan untuk tempoh 24 bulan dilihat amat sesuai untuk golongan berpendapatan rendah.
Bagi Saifulizam Mohd. Noor, 26, pula berkata, pakej yang ditawarkan oleh TM itu telah membolehkan komuniti berpendapatan rendah dapat menggunakan jalur lebar.
Katanya, ia juga dapat merapatkan jurang digital antara masyarakat di negara ini kerana jalur lebar kini dianggap satu keperluan dalam kehidupan.
''Dulu kalau golongan berpendapatan rendah susah untuk memiliki netbook dan kemudahan jalur lebar tetapi kini saya yang berpendapatan tidak seberapa sudah boleh memiliki semua itu," katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Noor mahu pakej tersebut terus diperluaskan terutama di kawasan kampung yang jauh dari bandar.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm
No comments:
Post a Comment