Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
najib.daud@utusan.com.my
PUCHONG 17 Ogos - Penyedia perkhidmatan jalur lebar, REDtone International Bhd. (Redtone), mengumumkan pengambilan alih berbalik sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS), Hotgate dalam usaha syarikat tersebut mengembangkan perniagaannya di AS.
Melalui pengambilan alih itu, REDtone akan melupuskan pegangannya di dalam operasinya syarikatnya di China, REDtone China pada harga AS$22 juta (RM69.08 juta) membabitkan 58.501 juta saham biasa.
Pengarah Urusan Kumpulan REDtone, Wei Chuan Beng berkata, cadangan pelupusan tersebut merupakan jalan terbaik kepada syarikatnya untuk melepaskan pelaburan dalam anak syarikat itu.
Bagaimanapun, pelupusan itu tidak memberi sebarang keuntungan atau kerugian kepada kumpulan kerana pihaknya masih lagi memegang kepentingan secara tidak langsung menerusi Hotgate sebanyak 91.94 peratus.
"Dengan menguasai Hotgate yang disenaraikan di Over The Counter Bulletin Board, apa-apa yang berkaitan peningkatan modal yang diperlukan oleh REDtone China pada masa depan boleh dilakukan menerusi Hotgate sama ada melalui pelaksanaan penempatan atau terbitan hak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Cadangan pelupusan itu merangkumi kepentingan ekuiti REDtone dalam REDtone China yang sebelum ini dikuasai 100 peratus dan selepas selesai pelupusan itu, pegangan ke atas anak syarikatnya itu akan dikurangkan kepada 92.31 peratus.
Perjanjian itu dimeterai pada 2 Ogos lalu yang mana perjanjian pelupusan 58.501 juta saham REDtone China, mewakili 100 peratus modal saham berbayar dan terbitan subsidiari itu kepada Hotgate bagi tujuan pertimbangan pelupusan.
Menurut Chuan Beng, lanjutan daripada persetujuan itu, Hotgate perlu melupuskan terbitan 244. 44 juta saham baru Hotgate pada harga AS$0.09 (RM0.28) sesaham.
Pelaksanaan cadangan itu akan menyaksikan REDtone International memiliki 247.47 juta saham Hotgate.
Beliau berkata, menerusi pegangan itu pihaknya akan menguasai 91.94 peratus terbitan yang diperbesarkan dan modal saham berbayar Hotgate sebanyak 269.16 juta saham Hotgate.
"Dengan penguasaan itu, Hotgate akan menjadi anak syarikat REDtone China," katanya.
Hotgate diperbadankan di Nevada AS, di bawah undang-undang Nevada pada 6 Januari 2005 sebagai syarikat awam berhad di bawah nama File4ward Software Inc.
Ia disenaraikan menerusi Over The Counter Bulletin Board pada 18 September 2006.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_01.htm
No comments:
Post a Comment