Tuesday, April 13, 2010

Analisis Saham: Pos Malaysia mampu tingkat untung

Oleh Kamarulzaidi Kamis

kamarulzaidi@bharian.com.my

2010/04/12

Segmen runcit, penghantaran ekspres, kenaikan tarif bakal jana pertumbuhan baru
PELABUR dan penganalisis semakin yakin mengenai potensi peningkatan keuntungan Pos Malaysia Bhd susulan pengumuman kenaikan caj penghantaran surat dalam negara mulai 1 Julai ini. Pos Malaysia baru-baru ini mengumumkan kenaikan tarif pos domestik antara lain bagi surat berat standard antara 20-30 gram kepada 60 daripada 30 sen dan bagi surat seberat sehingga 50 gram harga pos dinaikkan kepada 70 sen daripada 40 sen. Peningkatan tarif yang pertama dibuat dalam tempoh 18 tahun itu, kata Pos Malaysia, secara umumnya membabitkan surat standard kurang 50 gram, surat tidak standard kurang 100 gram, surat berkala, dokumen pos, surat berdaftar dan bungkusan kurang dua kilogram.
Bagaimanapun, kata syarikat itu, ia akan memperkenalkan perkhidmatan Mel Rakyat pada Mei ini, yang menyamai bentuk dan fungsi Aerogram bagi memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan harga pos yang lebih rendah iaitu 30 sen bagi penghantaran domestik.
Walaupun pengumuman kenaikan harga pos itu disusuli dengan kenaikan gaji kakitangan kumpulan itu, penganalisis pasaran secara umumnya berpendapat, langkah itu adalah bertepatan kerana kos boleh ditampung kenaikan tarif pos.
Penganalisis OSK Research Sdn Bhd, Ahmad Maghfur Usman, berkata semakan kadar pos itu dibuat tepat pada masanya dalam usaha meningkatkan kebajikan kakitangan Pos Malaysia, khusus yang bernaung di bawah kesatuan sekerjanya supaya selaras dengan gaji kakitangan awam serta kesatuan sekerja industri lain.

Katanya, sebelum kenaikan kadar tarif pos berbanding kuasa beli (PPP) setiap rakyat Malaysia adalah yang terendah di rantau ini.
Beliau berkata, kadar itu adalah 13 sen bagi surat di bawah 30 gram, lebih rendah daripada Indonesia pada kadar 32 sen, Filipina (26 sen) dan China (22 sen).
Pos Malaysia adalah pengendali tunggal perkhidmatan pos di Malaysia. Dalam tempoh sedekad lalu, syarikat itu berjaya mengembangkan sumber pendapatannya dengan penawaran pelbagai perkhidmatan berkaitan pos.
Pos Malaysia mengendali 1.26 bilion mel dalam tahun kewangan 2009. Sejak dua dekad lalu, teknologi digital menyebabkan pengguna beralih menggunakan komunikasi elektronik seperti pesanan ringkas, e-mel dan faks justeru, menjejaskan jumlah mel dikendalikan syarikat itu.
Ahmad Maghfur menjangka jumlah penggunaan mel mengalami aliran menurun kerana terdapat kemungkinan syarikat, khususnya institusi perbankan dan syarikat utiliti di negara ini, yang lazimnya menghantar penyata dan bil, akan mula menggalakkan pelanggan masing-masing menggunakan perkhidmatan semakan bil dan penyata secara dalam talian.
“Kami menjangka jumlah surat akan menyusut kepada 1.023 bilion menjelang tahun kewangan 2012 daripada 1.271 bilion pada 2008 kerana dalam jangka panjang syarikat akan beralih menggunakan penyata secara dalam talian,” katanya.
Sementara, hasil kendalian surat dijangka menyumbang 65 peratus keuntungan pada 2012, namun OSK Research menjangka segmen runcit dan penghantaran ekspres yang kini menyumbang 33 peratus keuntungan bakal muncul sebagai enjin pertumbuhan baru kumpulan itu, jika ia mengambil peluang mewujudkan pakatan strategik dengan pihak ketiga yang berpotensi.
Dalam pada itu, OSK Research menjangka kenaikan gaji kakitangan sebanyak 20 peratus bermula Julai ini akan memberi kesan kecil kepada kedudukan kewangan Pos Malaysia.
“Kami yakin semakan gaji akan meningkatkan kos sumber manusia sebanyak 14 peratus bagi tahun kewangan 2010. Jumlah itu secara keseluruhannya adalah RM623.1 juta bagi tahun kewangan 2010 atau 66 peratus daripada perbelanjaan operasi, jumlah hampir sama dengan tahun kewangan 2009.
“Untuk tempoh selanjutnya, kos operasi dijangka terkawal dengan pengenalan pusat pemprosesan surat baru di Shah Alam yang menjalankan proses kendalian surat secara automatik, justeru, mengurangkan kerja lebih masa dan sebagainya.
“Kami memulakan liputan pertama kajian ke atas Pos Malaysia dengan panggilan ‘beli’ susulan semakan semula tarif pos dengan harga sasaran RM3.52 sesaham. Kenaikan tarif itu akan meningkatkan pendapatan purata sepucuk surat yang dikendalikan kepada 85 sen sepucuk menjelang 2011 daripada 44.6 sen kini,” kata OSK Research.
Sementara itu, AmResearch dalam nota penyelidikannya berkata, bahagian penyelidikan itu menaikkan saranan ke atas Pos Malaysia daripada ‘pegang’ kepada ‘beli’ dengan meningkatkan sasaran harga sahamnya kepada RM3.80 daripada sasaran sebelumnya RM2.30 sesaham.
http://www.bharian.com.my/articles/AnalisisSaham_PosMalaysiamamputingkatuntung/Article/

No comments:

Post a Comment