KUALA LUMPUR 13 Julai - Telekom Malaysia Bhd. (TM) berhasrat menawarkan lebih daripada 30 saluran menerusi perkhidmatan Televisyen Protokol Internet HyppTVnya menjelang akhir tahun daripada 22 saluran pada masa ini.
"Kami kini sedang berunding dengan penyedia kandungan dan mengharapkan lebih daripada 30 kandungan menjelang akhir tahun," kata Naib Presiden Eksekutif Pengguna, Jeremy Kung, dalam taklimat media di sini hari ini.
Kung turut menggesa agar penyedia kandungan tempatan menggunakan platform IPTV sebagai wadah untuk mempertontonkan kandungan mereka, sambil menambah yang kerajaan telah menyediakan wang permulaan bagi membantu mereka mewujudkan kandungan mereka.
HyppTV dilancarkan pada 24 Mac bersama-sama dengan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) TM, UniFi.
HyppTV boleh diperolehi oleh semua pengguna kediaman UniFi HSBB sebagai sebahagian daripada tawaran triple-play terdiri daripada telefon, IPTV dan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi.
Kung berkata, para pelanggan UniFi pada masa ini menikmati 22 saluran TV linear percuma dan lebih daripada 20 jodol VoD baru yang menarik, yang ditambahkan setiap bulan sebagai perkhidmatan tambah nilai.
"Kami amat teruja dengan potensi langkauan HyppTV berseiringan dengan pengembangan perkhidmatan UniFi ke lebih banyak kawasan dan TM akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pengguna," kata Kung.
Kung berkata, TM menjangkakan enam hingga lapan peratus daripada 750,000 premis akan dihubungkan ke UniFi menjelang akhir tahun dan menjadi pelanggan kepada HyppTV.
Pada masa ini, TM mempunyai 5,000 pengguna UniFi.
HyppTV ditawarkan menerusi pakej kediamannya - VIP5 pada RM149 sebulan, VIP10 pada RM199 sebulan dan VIP20 pada RM249 sebulan.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_03.htm
No comments:
Post a Comment