Utusan Online : 2 Julai 2010
JOHOR BAHARU 1 Julai - YTL Communications akan memperkenalkan rangkaian 4Gnya di seluruh negara pada suku keempat tahun ini, kata Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping.
Beliau berkata, syarikat itu telah melabur RM2.5 bilion untuk memajukan infrastruktur 4G bagi menyediakan liputan kepada sekurang- kurang 65 peratus daripada kawasan yang berpenduduk di negara.
"Saya yakin bila kita perkenalkan rangkaian 4G ini ke seluruh negara menjelang suku keempat tahun ini, hasrat Perdana Menteri untuk sebuah "negara berjalur lebar" dan unjuran 50 peratus kadar penembusan jalur lebar Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) menjelang akhir tahun boleh menjadi kenyataan," kata beliau.
Sock Ping berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian kerjasama antara YTL Communications dan Universiti Teknologi Malaysia UTM) untuk menyediakan akses rangkaian 4G keseluruhan kampus utama universiti di Skudai, dekat sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Naib Kanselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang.
Sock Ping berkata, syarikat telahpun memperlihatkan rangkaian 4G canggihnya kepada para pegawai kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) minggu lepas. - Bernama
Beliau berkata, para pegawai turut melawat Pusat Operasi Rangkaian YTL Communications di Sentul Park untuk mengkaji rangkaian jalur lebar 4G berkelajuan tingginya itu.
Mereka turut menyaksikan fasa pertama prestasi peranti 4G.
"Kami bekerjasama dengan mereka yang terbaik dana rakan niaga di dalam dan luar negara untuk membawa satu platform lengkap penawaran yang akan merevolusasikan pengalaman 4G untuk semua pengguna di dalam negara," kata beliau. - Bernama
Mengenai majlis hari ini, Sock Ping berkata, YTL Communications telah mewujudkan secara khusus "Program Rakan Pendidikan" (EPP) agar institusi pendidikan tinggi dan para pelajar mereka boleh menjadi antara yang pertama di Malaysia mendapat manfaat daripada spektrum 4G paling berkuasanya.
Program EPP YTL Communications menyediakan akses ke IntraNet dan Internet pada bila-bila masa dan di mana juga dalam lingkungan kampus.
Sock Ping berkata, syarikat turut mengadakan perbincangan dengan beberapa universiti berhubung Program EPP kepada mereka.
"Matlamat akhir kami ialah menjadikan saling hubung jalur lebar tanpa wayar berkelajuan tinggi diperoleh menjelang akhir tahun untuk semua 400,000 pelajar universiti awam di dalam negara," tambah beliau.
— Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_10.htm
No comments:
Post a Comment