Oleh Azli Ayob
2010/07/03
4,700 langgan khidmat UniFi sejak dilancarkan Mac lalu
TELEKOM Malaysia Bhd (TM) akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion tahun ini bagi pelbagai kerja berkaitan projek perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) syarikat itu yang dikenali sebagai UniFi.
Setakat 30 April lalu, TM telah membelanjakan RM2.3 bilion bagi projek membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM11.3 bilion itu yang meliputi penyediaan akses sambungan akhir, pelaksanaan teras Protokol Internet (IP) dan penambahan kapasiti bagi rangkaian antarabangsa. Pakej jalur lebar UniFi TM itu terdiri daripada perkhidmatan internet berkelajuan tinggi; siaran televisyen dan video menerusi internet protokol (IPTV) serta telefon internet. Ia ditawarkan pada harga bermula RM149 sebulan. Pengarah Program (Projek HSBB) TM, Ahmad Azhar Yahya, berkata sejak dilancarkan Mac lalu, jumlah pelanggan UniFi adalah seramai 4,700 dan ia dijangka terus meningkat menerusi usaha pemasaran agresif yang sedang dilaksanakan TM ketika ini.
“Jumlah pelanggan juga akan bertambah sejajar dengan peningkatan kawasan liputan perkhidmatan,” katanya pada sidang media sempena promosi perkhidmatan UniFi di Bangsar Shopping Center, Kuala Lumpur, semalam.
Ahmad berkata, bermula kelmarin, perkhidmatan UniFi sudah diperluaskan ke 18 lagi kawasan di seluruh negara daripada empat kawasan ketika dilancarkan Mac lalu.
Pada peringkat awal pelancarannya, perkhidmatan itu hanya disediakan di Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kawasan terbaru termasuklah kawasan industri Kulim Hi-Tech Park di Kedah, Bayan Baru di Pulau Pinang, Senai dan Gelang Patah di Johor, Wangsa Maju, Sungai Buloh, Puchong dan Cyberjaya di Selangor serta Putrajaya dan Damansara di Wilayah Persekutuan.
“Dengan 18 kawasan baru ini, perkhidmatan UniFi kini boleh dipasang di 375,000 premis dan akan ia akan meningkat kepada 750,000 premis menjelang akhir tahun ini dan 1.3 juta pada akhir 2012,” katanya.
Ahmad berkata, TM juga sedang berusaha meningkatkan lagi kandungan bagi perkhidmatan UniFi untuk menarik lebih ramai pelanggan.
“Kami akan mendapatkan lebih banyak penyedia kandungan tempatan dari semasa ke semasa daripada 10 penyedia kandungan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini TM masih lagi memberikan beberapa insentif bagi menarik pelanggan baru seperti pengecualian caj pemasangan, peralatan atau pengaktifan.
“Bagaimanapun pelanggan lama yang sebelum ini menikmati perkhidmatan secara percuma akan mula membayar bil mereka mulai bulan ini,” katanya
http://www.bharian.com.my/articles/TMbelanjaRM2bilionbagiHSBBtahunini/Article/
No comments:
Post a Comment