Thursday, September 2, 2010
Apple TV dilancar
PERKAKASAN baru Apple TV yang lebih kecil dipamerkan pada sidang akhbar di San Francisco, kelmarin. – AP
--------------------------------------------------------------------------------
SAN FRANCISCO 2 Sept. – Apple Inc. melancarkan versi Apple TV yang lebih kecil dan lebih murah bagi menyalurkan kandungan dari Internet ke peti televisyen, sekali gus memperhebatkan persaingan dengan Google Inc. dan Microsoft Corp. untuk menguasai segmen hiburan digital di rumah.
Pengasas bersama Apple, Steve Jobs juga melancarkan barisan produk iPod yang dirombak sepenuhnya serta versi terbaru iTune, dengan logo baru yang tidak lagi menggunakan imej CD yang ketinggalan zaman.
Peranti baru Apple TV tersebut, yang digunakan untuk mengakses kandungan dari Internet dan memainkannya pada set televisyen, akan dijual dengan harga AS$99 (RM317). Ia hanya 25 peratus daripada saiz Apple TV asal yang berharga AS$229 (RM733).
Peranti berukuran 10 sentimeter persegi itu membolehkan pengguna menyewa rancangan televisyen dengan hanya AS$0.99 (RM3.17) dan filem dalam jadual tayangan pertama dengan harga AS$4.99 (RM16). Model asal yang membolehkan pengguna membeli rancangan televisyen sahaja tidak mendapat sambutan.
“Pengguna memang takut menyambung sesuatu pada set televisyen mereka, kerana itu pasaran kita akan menjadi sangat terhad melainkan kita dapat menjelaskan mengapa mereka perlu berbuat demikian dan kita memudahkan mereka untuk berbuat demikian,” kata pengarah penyelidikan bagi peranti pengguna di Current Analysis, Avi Greengart.
Perubahan terbesar pada iTunes ialah pengenalan ciri rangkaian sosial yang dikenali sebagai Ping yang membolehkan pengguna mengesyorkan lagu kepada peminat atau rangkaian rakan pilihan mereka.
“Ciri ini umpama Facebook dan Twitter bertemu dengan iTunes. Ia merupakan rangkaian sosial mengenai muzik semata-mata,” kata Jobs pada majlis untuk melancarkan produk-produk tersebut semalam.
Namun bagi wartawan dan pelabur, produk utama pada pelancaran semalam ialah Apple TV yang diperkenalkan oleh Apple pada 2006 tetapi tidak mendapat sambutan yang diharapkan.
Jobs pernah menyebut Apple TV sebagai satu hobi, tetapi menjelaskan syarikat itu kini bersedia untuk bersungguh-sungguh memberi fokus kepada usaha menggabungkan Internet dengan televisyen.
Gabungan itu turut menjadi tumpuan beberapa syarikat teknologi paling kreatif dan paling kukuh di dunia, termasuk Google, Microsoft dan Amazon.com. Inc. – Reuters
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment