Tuesday, June 15, 2010

Maxis terbuka kongsi infrastruktur

Oleh SARAH NADLIN ROHIM

sarah.rohim@utusan


KUALA LUMPUR 15 Jun – Syarikat telekomunikasi Maxis Bhd. (Maxis) tidak menolak kemungkinan untuk berkongsi rangkaiannya dengan syarikat telekomunikasi lain dalam usaha untuk mengurangkan kos infrastrukturnya.



Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sandip Das berkata, perkongsian rangkaian bukan sesuatu yang baru dan Maxis sendiri pada masa ini telah berkongsi 40 peratus daripada kerja-kerja rangkaian dengan syarikat yang mempunyai kemudahan sepatutnya.



‘‘Maxis sentiasa berfikiran terbuka untuk berkongsi infrastruktur dengan syarikat telekomunikasi yang berminat, kemungkinan untuk berkongsi dengan pemain baru juga tidak akan ditolak kerana mereka lebih memerlukan infrastruktur tersebut.



‘‘Namun buat masa ini, Maxis tidak membuat sebarang pengumuman mengenainya, tetapi tidak menolak untuk berkongsi. Perkongsian tersebut juga boleh melibatkan kawasan baru yang tidak mempunyai rangkaian dan ini akan menjimatkan kos sekiranya kami berkongsi daripada mempunyai banyak infrastruktur yang sama di kawasan sama,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Maxis yang pertama di sini hari ini.



Hadir sama, Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Ketua Pegawai Kewangannya, Rossana Annizah Rashidi dan Ketua Pegawai Operasi Maxis, Jean-Pascale van Overbeke.



Sandip berkata demikian bagi mengulas mengenai langkah Celcom Axiata Bhd. (Celcom) dan pesaingnya DiGi Telecomunication Sdn. Bhd. (DiGi) menjalin kerjasama jangka panjang untuk meningkatkan rangkaian perhubungan telekomunikasi negara.



Celcom dan DiGi mencatat sejarah apabila dua syarikat yang saling bersaing dalam bidang telekomunikasi bersetuju untuk membentuk kerjasama strategik.



Kedua-dua syarikat itu bersetuju untuk berkongsi beberapa bahagian sistem operasi rangkaian telekomunikasi di negara ini.



Dalam perkembangan lain, Maxis turut membayangkan prestasi kewangan yang lebih baik bagi suku kedua berbanding suku pertama.



‘‘Kami juga menyasarkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, penyusutan dan pelunasan (EBITDA) kami adalah lebih baik iaitu melebihi 50 peratus pada masa hadapan. Kami akan bekerja keras untuk mencapainya dan akan memberi fokus kepada pertumbuhan perolehan dan mengurangkan kos operasi,” jelasnya.



Sementara itu, Raja Arshad berkata, Maxis berada di landasan yang betul untuk merealisasikan visi apabila mencatatkan perolehan sebanyak RM8.611 bilion pada 2009.



‘‘2009 juga menyaksikan kami memperuntuk RM1.24 bilion dalam perbelanjaan modal untuk menaik taraf dan memodenkan rangkaian Maxis. Rangkaian 3G kami telah menembusi 50 hingga 57 peratus jumlah penduduk dan kami menyasarkan untuk mencapai sehingga 80 peratus penembusan menjelang akhir tahun ini.



‘‘Kami juga akan melabur sebanyak RM1.4 bilion untuk perbelanjaan modal pada tahun ini dalam usaha meningkatkan kehadiran jalur lebar dan kecekapan operasi,” katanya.



Tambah Sandip, Maxis juga akan memperkenalkan beberapa perkhidmatan baru pada tahun ini antaranya adalah televisyen protokol internet (IPTV).



‘‘Pada suku ketiga ini, Maxis akan melaksanakan pra pelancarannya dan pelanggan dapat mencubanya dan memberi maklum balas sebelum pelancaran sepenuhnya dibuat.



‘‘IPTV bukan sekadar menawarkan seberapa banyak saluran televisyen, tetapi ia terletak kepada protokol internet yang kaya dengan kandungan multimedia dan Maxis sedang membangunkan aspek ini,” katanya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_01.htm

No comments:

Post a Comment