19 Safar 1433
KUALA LUMPUR, 13 Jan, 2012- Axiata Group Bhd, syarikat telekomunikasi terkemuka di Asia, kini sedang meninjau pelbagai cara untuk meningkatkan pendapatan, terutamanya dalam operasi bukan mudah alih.
"Kami sedang meninjau bidang-bidang yang boleh meningkatkan pendapatan, terutamanya kandungan, hiburan, perdagangan mudah alih dan pembayaran mudah alih," kata presiden dan ketua pegawai eksekutif, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.
Beliau berkata untuk mencapai objektif ini, Axiata telah merancang capex bernilai RM4.2 bilion untuk tahun ini.
"Lebih kurang sama dengan tahun lepas tetapi jumlah sebenar akan diumumkan bulan depan," kata beliau dalam persidangan akhbar selepas melancarkan Program Bakat Muda Axiata Jumaat.
Majlis itu dirasmikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengerusi Axiata Tan Sri Azman Mokhtar.
Mengenai indeks prestasi utama Axiata tahun ini, Jamaludin berkata ia, beserta dengan pendapatan dan keputusan kewangan 2011 syarikat, akan diumumkan pada akhir bulan depan.
Pendapatan kumpulan untuk tahun 2010 ialah RM15.6 bilion.
Axiata mempunyai penguasaan kepentingan dalam penyedia mudah alih di Malaysia, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh dan Kemboja, dengan kepentingan strategi yang signifikan di India dan Singapura.
Selain daripada itu, ia mempunyai kepentingan dalam operasi telekomunikasi bukan mudah alih di Thailand.
Anak syarikat dan sekutu mudah alih kumpulan beroperasi di bawah jenama Celcom di Malaysia, XL din Indonesia, Dialog din Sri Lanka, Robi di Bangladesh, Hello di Kemboja, Idea di India dan M1 di Singapura.
Mengenai Program Bakat Muda Axiata, Jamaludin berkata kumpulan telah melabur RM100 juta dalam tempoh 10 tahun ini bagi mengembangkan pembangunan pendidikan dan bakat di Malaysia.
Beliau berkata yang Axiata bekerjasama dengan anak-anak syarikat dan sekutu untuk mereplikasikan program itu dan berhasrat melancarkannya pada tahun 2014, bermula dengan Indonesia.
Program Bakat Muda Axiata adalah sebahagian daripada Program IMalaysia yang disasarkan kepada golongan muda dengan harapan dapat memupuk dan mendidik mereka untuk menjadi pemimpin dan peneraju industri di masa hadapan.
Sumber- BERNAMA
No comments:
Post a Comment