Tuesday, March 30, 2010

Khazanah lupus 32% pegangan Pos Malaysia

KUALA LUMPUR 30 Mac - Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) akan melupuskan 32 peratus pegangannya dalam Pos Malaysia Bhd. dalam dua peringkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peringkat pertama yang berkuat kuasa serta-merta akan membabitkan kaedah urus tadbir korporat dan kawal seliaan yang sesuai.

"Perbincangan menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan akan dilaksanakan,'' katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan Invest Malaysia 2010 di sini hari ini.
Menurut Najib, Pos Malaysia akan membuat persediaan untuk pelupusan strategik dengan mengambil kira pelbagai aspek persekitaran perniagaannya, termasuk struktur kawal seliaan penggunaan tanah kerajaan dan kedudukan serta kebajikan pekerja.
Tambah beliau, isu mengenai pendapatan rendah sebilangan kakitangan, termasuk posmen juga akan dikaji semula berikutan cadangan pelupusan itu.
"Bagi memastikan kepentingan kedua-dua sektor awam dan komersial adalah seimbang, kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci dan mengemaskini rangka kawal selia sistem pos,'' jelasnya.
Najib berkata, pada peringkat kedua cadangan pelupusan tersebut, Khazanah akan menggariskan proses bidaan dan penilaian untuk memilih pemegang saham baru dengan tahap keusahawanan yang tinggi bagi memodenkan Pos Malaysia.

Tambah beliau, maklumat lanjut berkaitan perkara tersebut akan diumumkan kemudian.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

No comments:

Post a Comment