30 Mac 2010 / 14 Rabiul Akhir 1431
CYBERJAYA 29 Mac - Kerajaan akan menyemak semula lesen penyiaran yang diberikan kepada tujuh stesen televisyen berbayar tempatan kecuali Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (Astro) kerana didapati mempunyai kemampuan terhad.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, begitupun kerajaan akan memberikan tempoh yang cukup untuk mereka beroperasi sebelum mengambil sebarang tindakan susulan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut tempoh masa itu.
''Jika mereka tidak menggunakan (lesen penyiaran) dalam tempoh tertentu, maka di bawah akta berkenaan kita perlu menyemak kedudukan mereka itu.
''Ini kerana ada pihak-pihak lain yang berminat dan berupaya untuk menyampaikan produk masing-masing melalui lesen yang diberikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas menyerahkan tiga lesen individu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada Astro di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Astro, Datuk Badri Masri. Tujuh stesen televisyen berbayar yang dinyatakan oleh Rais itu adalah U Television Sdn. Bhd., Asiaspace Digital Network Sdn. Bhd., Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Fine TV Network Sdn. Bhd., TM Net Sdn. Bhd., MOL Media Sdn. Bhd. dan De Multimedia Sdn. Bhd.
Rais berkata, tujuh stesen televisyen berbayar tersebut seharusnya melakukan proses penilaian semula terhadap keupayaan syarikat masing-masing.
''Adalah tidak adil untuk saya memaklumkan syarikat mana yang bermasalah tetapi setiap mereka perlu melakukan penilaian terhadap keupayaan masing-masing kerana jika tidak, saya fikir ia akan dipandang negatif," katanya.
Sementara itu mengenai majlis tersebut, Rais berkata, tiga lesen berkenaan adalah pemberi perkhidmatan rangkaian, pemberi kemudahan rangkaian dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan.
Menurutnya, dengan pemberian tiga lesen individu itu, Astro kini secara rasmi berada di bawah seliaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
''Ini mencerminkan satu usaha yang boleh mencantumkan semua tenaga penyiaran tempatan ke tahap yang lebih tinggi dalam membimbing masyarakat menerusi didikan informasi dan hiburan," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm
No comments:
Post a Comment