Tuesday, May 18, 2010

TM sasar 750,000 premis guna UniFi

2010/05/19 KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) mengadakan sesi lawatan kerja ke The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) semalam, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa.


Lawatan hampir dua jam itu turut memberi peluang kepada kumpulan TM memperkenalkan produk terbaru pakej jalur lebar UniFi kepada NSTP.


Menurut Zamzamzairani, pakej jalur lebar UniFi akan dilancarkan Julai ini, khusus bagi swasta dan kerajaan bagi meluaskan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi UniFi ke kawasan berimpak ekonomi tinggi bagi keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.


Beliau berkata, selain beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, kawasan berimpak ekonomi tinggi bagi GDP dikenal pasti sebagai zon satu meliputi kawasan perindustrian, taman teknologi dan zon bebas cukai seluruh negara.

“Kami dalam usaha mencapai sasaran 750,000 premis dilengkapi UniFi menjelang akhir tahun ini, dan 1.3 juta premis pada 2012.

“Sejak dilancarkan 25 Mac lalu, kedua-dua pakej UniFi bagi kawasan kediaman dan pakej pengusaha kecil dan sederhana (PKS) memperoleh sambutan menggalakkan. Kami bersedia meluaskan UniFi ke beberapa kawasan lain dalam zon satu secara berperingkat,” katanya.


Hadir sama, Pengarah Projek High Speed Broad Band (HSBB) TM, Ahmad Azhar Yahya, Ketua Pegawai Pemasaran TM, Rozalila Abdul Rahman dan beberapa pegawai kanan TM.

Ketibaan mereka disambut Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Bujang, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Zainul Ariffin Mohamad Isa, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid, Pengarang Kumpulan NST, Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TMsasar750_000premisgunaUniFi/Article

No comments:

Post a Comment